Khamis, 21 Mei 2009
Permohonan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Keluaran IPTA (21/05/2009 - 19/06/2009)
http://apps.emoe.gov.my/egst/
Ahad, 10 Mei 2009
Tema Hari Guru 1972 - 2009
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
Khamis, 7 Mei 2009
Belia perlu anjakan paradigma jadi generasi kelas pertama
MENTERI Belia Dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan kementeriannya akan memperkenalkan konsep 'Satu Belia' bagi membantu mempercepat proses pelaksanaan gagasan 1Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa belia yang mencakupi hampir separuh daripada 27 juta rakyat perlu disemai dengan semangat dan perasaan sama bagi menjayakan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu.
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), menyambut baik perhatian yang diberikan terhadap belia pada hari ini kerana generasi ini adalah pewaris kepemimpinan negara akan datang.
Justeru, golongan belia harus dipersiapkan bagi memastikan mereka mampu menghadapi dunia penuh cabaran ini. Bekas Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata: "Berilah aku seratus orang pemuda, nescaya aku mampu menggoncangkan dunia. Tetapi sekiranya aku diberi seribu orang tua nescaya tewaslah aku".
Demikian sebuah proklamasi yang mengangkat martabat golongan belia. Hal demikian kerana, masa depan negara bergantung kepada keupayaan belia hari ini. Harapan diletakkan di atas bahu golongan belia kerana golongan ini memiliki semangat yang membara, tubuh badan yang kuat serta idealisme yang tinggi.
Kes yang membabitkan golongan belia hari ini agak membimbangkan. Terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di kawasan Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas yang dijalankan kira-kira 200 anggota polis trafik, narkotik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kes sebegini amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.
Justeru, ISIUKM berharap, pihak Kementerian Belia Dan Sukan mengkaji semula program yang dijalankan kementerian itu agar ia bersesuaian dan seimbang dari pelbagai aspek. Program yang dijalankan tidak boleh hanya sekadar bersifat mengisi masa kosong belia semata-mata. Sebagai contohnya, bagi mengatasi masalah lumba haram, tidak cukup sekadar disediakan litar sebagai alternatif, namun ia perlu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
ISIUKM tidak menafikan, pelbagai program dijalankan pihak kementerian terbabit dalam pembangunan jasmani belia termasuk kemudahan dan prasarana. Namun, fokus pembangunan emosi, rohani dan intelektual juga perlu diperkasakan.
Jiwa generasi belia hari ini harus dipasak dengan kukuh bahawa masa depan negara berada dalam tangan mereka. Pemikiran belia perlu didedahkan dengan pengetahuan yang tinggi termasuklah mengambil tahu soal ekonomi, pendidikan, politik dan sosial yang menjadi tunjang kepada sesebuah negara.
Hal demikian penting agar timbulnya rasa bertanggungjawab dalam diri belia. Paradigma golongan ini juga perlukan anjakan agar mampu membentuk suasana yang baik dan bukannya hanya sekadar hanyut dibawa arus negatif yang diceduk dari budaya Barat.
Dalam hal ini, ISIUKM memandang, belia harus memiliki kompetensi dan integriti yang tinggi. Bekalan itu sangat penting agar belia dapat memimpin dan memacu Malaysia ke arah negara yang sejahtera dan maju setanding negara lain. Proses pembentukan belia yang gemilang tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya tanpa bantuan dan sokongan jabatan, pertubuhan kerajaan atau bukan kerajaan serta organisasi lain.
Justeru, ISIUKM juga berharap agar kerajaan memberi galakan dan sokongan terhadap usaha pelbagai pihak ke arah melahirkan generasi belia kelas pertama yang sedang dinantikan masyarakat.
MOHD IDRIS MOHD YUSSOFF,
Presiden Ikatan Studi Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor.
Kementerian Pelajaran tak manfaat kebolehan, skil guru sarjana, PhD
KEBELAKANGAN ini semakin ramai guru mengambil inisiatif sendiri melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) secara separuh masa atau luar kampus.
Kecenderungan golongan guru ini untuk memajukan diri sendiri amat dipuji seiring dengan peranan sekolah sebagai institusi keilmuan. Usaha ini memerlukan pengorbanan bukan sedikit selain menuntut perjuangan dan kesungguhan yang tinggi untuk melaksanakan tugasan di sekolah dan masa bersama keluarga. Tanggungjawab akademik di dewan kuliah memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit yang besar.
Namun, amat mengecewakan usaha dan kesungguhan mereka untuk meningkatkan tahap keilmuan mereka ini dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelajaran. Saya melihat kemahiran guru yang mempunyai pendidikan peringkat sarjana dan PhD tidak dimanfaatkan oleh kementerian.
Untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku, saya mencadangkan beberapa langkah yang dirasakan wajar diambil kementerian bagi faedah bersama:
Rasionalnya ialah golongan pendidik ini perlu didedahkan dengan maklumat baru di dalam kajian ilmiah supaya tahap ilmu mereka lebih berkembang dan mereka tidak muflis ilmu.
Bagi saya, langkah ini adalah usaha positif yang perlu diambil kementerian untuk memartabatkan profesion perguruan selaras dengan matlamat PIPP 2006-2010.
ABU SYIFA'
Bagan Serai,
Perak.
2,500 warga pendidik meriahkan sambutan Hari Guru
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
TERENGGANU akan menjadi tuan rumah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 Mei ini.
Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009, Zulkifly Mohd Wazir, berkata majlis dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu dan acara terbabit dinantikan warga pendidik kerana tahun ini adalah sambutan kali pertama bersama Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kira-kira 2,500 tetamu membabitkan wakil pelbagai peringkat seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran bertema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.
Selain itu, katanya, sambutan bermula 13 Mei itu akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu pameran inovatif dan kaedah pembelajaran di Terengganu Trade Centre, manakala kegiatan lain di TTI.
“Berbeza sambutan sebelum ini, pameran diadakan di lokasi berlainan kerana memikirkan tempatnya strategik bagi memasyarakatkan ilmu kepada pengunjung.
“Acara lain dirancang termasuk pertandingan bahas (13 hingga 15 Mei), Majlis Makan Malam serta penyampaian anugerah yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.
Zulkifly yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, berkata anugerah disampaikan Muhyiddin sempena Majlis Makan Malam pada 15 Mei, manakala tiga lagi oleh Najib, keesokan harinya.
“Sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana warga pendidik pastinya mahu mendengar idea baru yang akan disampaikan Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran,” katanya.
Lubuk virus
Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
Imej imbasan pelancong yang dirakam mesin pengesan suhu badan di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama. |
Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk dunia mati
TEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi.
Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13 April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.
Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat ini.
Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut.
Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk' pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya, virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan jangkitan serius dan mudah tersebar.
Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak selesema babi. |
Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia.
Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand, Israel dan Sepanyol.
Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin melarat kepada pandemik.
"Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.
Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah selesema babi ini bakal melenyapkan manusia.
Apakah benar andaian ini? Apakah ia mampu mencetuskan wabak selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan? Pada 1918 misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden. Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan Amerika pada tahun sama. Sebelas tahun kemudian, wabak Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa.
Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek 'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan berisiko seperti warga tua.
Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael Osterholm.
Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.
"Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Inilah yang menjadi masalahnya."
Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500 askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan, tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.
Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh beberapa bulan ke sebahagian besar dunia.
Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara. Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan.
Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) dan Ebola. Selesema burung misalnya, biarpun muncul pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang dijangkiti di 14 negara.
Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada 2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada 8,000 kes. Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes dicatatkan pada 2005.
Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair.
Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang sudah pasti mencetuskan panik.
Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.
INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi
- Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.
- Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.
- Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.
- Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.
- Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.
- Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.
Sejarah pandemik demam selesema
- Wabak Peloponnesian - 30,000 maut
Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi. - Wabak Antonine Plague - Lima juta mati
Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun. - Wabak Justinian Plague � Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian
Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh. - Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian
Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu. - Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian
Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda. - Wabak Selesema Asia - Empat juta maut
Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati. - Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut
Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati. - Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian
Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan. - Selesema Burung
Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia. - Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun
Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.