Ahad, 9 November 2008

NUTP tolak Sains, Matematik guna BI di sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), semalam menolak pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di peringkat sekolah rendah.

Pendirian terbaru kesatuan mewakili 135,000 guru itu yang sebelum ini menyokong program dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2003 diputuskan ketika Persidangan Perwakilan NUTP ke-18 di Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Ogos lalu.

Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata delegasi menolaknya selepas mendapati majoriti murid di sekolah rendah mengalami kesukaran mengikutinya terutama dari segi memahami istilah Sains serta Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Menerusi maklumat dan pandangan diterima daripada guru terbabit dalam PPSMI, murid di sekolah rendah terutama mereka di tahap satu (tahun satu hingga tiga) masih gagal menguasai istilah dua subjek itu ketika diajar dalam Bahasa Inggeris.

"Ia menyebabkan guru turut mengalami kesukaran mengajar kerana murid langsung tidak memahami apa yang diajar guru. Sehubungan itu, ahli menolak PSSMI di sekolah rendah kerana tiada faedah diperoleh jika situasi berkenaan berterusan.
"Bagaimanapun, NUTP tetap menyokong pelaksanaan PSSMI di peringkat sekolah menengah kerana murid masih boleh mengikutinya dengan baik kerana sudah mendapat sedikit pendedahan dari segi istilah," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Pada 2002, Kabinet memutuskan Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan serta kualiti murid bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Keputusan sama ada pengajaran dan pembelajaran subjek itu akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia akan ditentukan pada akhir tahun ini dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan diambil kira dalam menentukannya.

Selain itu, Kementerian Pelajaran juga menggunakan resolusi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dianggotai tokoh akademik, penyelidik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneliti laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan pelaksanaan PPSMI.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pendirian NUTP itu tidak bermaksud pihaknya menolak serta merta PPSMI di sekolah rendah sebaliknya mencadangkan supaya ia melalui proses penambahbaikan sebelum diperkenalkan semula.

"Kami mencadangkan supaya istilah Sains dan Matematik diajar dalam silibus subjek Bahasa Inggeris bermula dari peringkat prasekolah sehingga darjah tiga bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa berkenaan.

"Selepas yakin murid dari peringkat itu sudah boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula PPSMI di sistem pendidikan negara," katanya.

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Tiada ulasan: