Selasa, 23 Disember 2008

Antara fakta kajian dan keputusan sebenar UPSR

Oleh: Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff

Exco Akademik & Kerjaya

MPP UPSI 2008/2009


Bismilahhirrahmanirrahim

ALHAMDULLILAH

DALAM kebimbangan pelbagai pihak mengenai prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 khususnya bagi subjek Sains dan Matematik, yang dilaksana di bawah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini bukan saja di luar jangkaan malah boleh disifatkan sebagai kejutan.

Apa tidaknya, jika bersandarkan kepada hasil kajian beberapa tokoh akademik tersohor termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron bersama empat penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sudah pasti kita menjangka keputusan UPSR tahun ini akan terjejas dan ramai murid bakal memperoleh keputusan rendah khususnya bagi subjek Sains dan Matematik kerana sebahagian besar murid dilaporkan gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

mainpix

Dalam kajian ilmiah penyelidik dari UPSI itu tahun lalu mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati 83 peratus daripada murid Tahun Lima di semua penempatan seluruh negara menyatakan mereka sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun mempelajari kedua-dua subjek itu sejak mula diperkenalkan pada 2003.

Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Diikuti pada Julai 2007 membabitkan 636 dari 13 sekolah rendah, seterusnya pada Januari membabitkan 1,703 murid di 28 sekolah rendah.

Menurut kajian itu lagi, 85 peratus murid melaporkan guru mereka juga terpaksa mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa campuran bahasa Melayu dan Inggeris bagi membantu murid memahami dengan lebih mudah apa yang disampaikan guru.

Dapatan sama turut diperoleh dalam beberapa kajian lain termasuk yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan peratusan tinggi di kalangan pelajar Melayu sukar memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun apabila meneliti keputusan peperiksaan UPSR diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, baru-baru ini terbukti dasar PPSMI tidak menjejaskan penguasaan murid bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan seperti dilaporkan kajian berkenaan. Malahan bilangan murid yang menjawab kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris amat memberangsangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

Bagi subjek Sains meningkat kepada 159,234 pelajar berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya, manakala Matematik seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007. Hanya 7.7 peratus menggunakan bahasa campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Dapatan kajian yang turut dibentang pada Konvensyen Pendidikan Nasional di UPSI tidak lama dulu yang tidak menggambarkan pencapaian sebenar murid dalam peperiksaan UPSR 2008 yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu mengelirukan, bukan saja dalam kalangan ibu bapa malah seluruh rakyat yang prihatin dalam soal pendidikan anak-anak.

Persoalannya sekarang apakah kerajaan akan membuat ketetapan untuk meneruskan dasar PPSMI berikutan pencapaian calon kumpulan pertama di bawah dasar itu yang menampakkan kesan positif dan tidak menunjukkan dasar itu gagal?

Jika kita imbau kembali beberapa kenyataan Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Razali Ismail, kita dapat membuat andaian bahawa dasar itu kemungkinan diteruskan kerana tiada alasan konkrit untuk berpatah balik kepada bahasa Melayu, jika dasar itu dikatakan tidak menampakkan kegagalan.

Keputusan itu sekali gus membuktikan dakwaan yang dibuat pelbagai pihak adalah meleset malah menidakkan hasil kajian beberapa ahli akademik yang membuat kesimpulan ramai calon tidak faham apa yang diajar dan lemah dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan, gara-gara pelaksanaan dasar PPSMI.

Apa juga keputusan diambil, kita harap Kementerian Pelajaran wajar bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan. Pendidikan adalah wadah penting untuk melahirkan generasi berilmu yang memiliki ciri-ciri kepemimpinan berkualiti, berwibawa, berwawasan dan jati diri yang mampu memacu kemajuan negara dalam segenap bidang, seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Mungkin apa yang dikatakan tokoh ilmuwan tersohor yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz, kepada Berita Harian yang disiarkan Isnin lalu berhubung kemelut dasar PPSMI ini, boleh dijadikan renungan untuk difikirkan bersama:

“Penggantungan terhadap statistik seperti jumlah calon mendapat A atau menjawab dalam bahasa Inggeris bagi menetapkan pelaksanaan dasar PPSMI adalah tidak wajar kerana tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan murid.

“Sebaliknya kaedah baru pengajaran harus dirangka bagi membolehkan pelajar menguasai dan menggunakan kedua-dua bahasa secara serentak.

“Memastikan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar tidak harus diambil ringan kerana ia satu-satunya instrumen perpaduan paling berkesan diterapkan dalam sistem pendidikan, sekali gus dapat memastikan kelestarian pembangunan negara pada masa depan.

“Utamakan penguasaan pelajar dalam kedua-dua bahasa itu dulu, baru ia boleh dijadikan instrumen dalam dasar PPSMI, sekali gus menggalakkan mereka meluaskan pembacaan dalam pelbagai bahasa untuk menambah ilmu, bukan sekadar lulus peperiksaan”.

Tiada ulasan: